Assalamualaikum and welcome, everyone! This is an official blog of 8th Generation of Bestarians.

Sunday 31 July 2011

Selamat Menjalani Tarbiyah Ramadhan...

بسم الله الرحمن الرحيم

Firman Allah s.w.t :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُون

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa"  

Ramadhan datang lagi. Kalau tahun ni umur kita mencecah 19 tahun, bermakna telah hampir 19 tahun juga kita dikunjungi tetamu istimewa yang bernama Ramadhan ini. Begitulah seterusnya. Tapi berapa kali pula kita berpuasa penuh 30 hari sepanjang Ramadhan yang telah kita lalui? Jika ada yang tertinggal, (atau sengaja ditinggalkan) sudahkah kita qada' semuanya? Tepuk dada, tanyalah iman.

Ramadhan bulan rahmah. Bulan maghfirah. Bulan pelepasan daripada api neraka. Persoalannya, apakah yang perlu kita lakukan supaya dapat merebut segala peluang keemasan yang terhidang percuma di sepanjang bulan yang mulia ini? Cukupkah dengan sekadar berpuasa penuh 30 hari? Dan bertarawih 20 rakaat pada setiap malamnya?

RAMADHAN SEBENAR 

Apa yang dikehendaki dan mesti dilakukan oleh setiap mukmin dan mukminah di sepanjang Ramadhan ini ialah menjalani tarbiyah dengan penuh rasa ikhlas dan pengharapan yang menggunung supaya berjaya keluar dari madrasah ini sebagai muttaqeen (orang-orang yang bertaqwa), bertepatan dengan maksud ayat ke 183 surah al-Baqarah di atas.

Untuk mencapai sasaran itu, persiapan awal perlulah dimulakan sebelum kaki melangkah masuk ke pintu Ramadhan lagi. Niat di hati perlu ditajdid dan dimurnikan. Jasad fizikal perlu diperkasakan supaya tubuh badan sentiasa segar untuk beribadah. Kekuatan iman dan mental perlu disediakan secukupnya untuk mendepani segala ujian dan godaan nafsu yang sentiasa menggila. Jika hanya perut yang berlapar dan tekak kering kehausan sepanjang siang hari di bulan Ramadhan, tetapi perilaku dan akhlak kita tidak berubah, maka sia-sialah puasa kita di siang hari itu. Sabda Rasulullah s.a.w. :
"من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة أن يدع طعامه وشرابه"
Maksudnya: "Barangsiapa yang tidak meninggalkan percakapan dan perbuatan yang sia-sia (ketika berpuasa), maka Allah tidak mengkehendaki puasanya"

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

"كم من صائم ليس له من صيامه إلا الجوع والعطش"

Maksudnya: "Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak memperolehi apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga"


PANDANGAN SKEPTIK TERHADAP RAMADHAN

Pada tahun 1961, Habib Bourguiba yang ketika itu menjadi Presiden Tunisia, telah melarang penjawat awam di negaranya dari berpuasa pada bulan Ramadhan. Bagi menunjukkan keseriusannya terhadap arahannya itu, beliau dan anggota kabinetnya telah muncul secara langsung di televisyen pada waktu tengahari dalam bulan Ramadhan- dan mereka makan beramai-ramai pada waktu itu. Apa alasannya berbuat begitu? Mudah sahaja, baginya, berpuasa mengurangkan produktiviti negara!

Itu merupakan salah satu contoh pandangan skeptik atau sinis terhadap Ramadhan dan puasa khususnya. Pandangan sebegini biasanya dilontarkan oleh mereka yang melihat gelagat orang Islam yang berpuasa itu- lesu dan culas dalam melaksanakan rutin hariannya, lantas mereka yang kurang kefahaman terhadap agama seperti Bourguiba itu terus menghalang orang lain dari melaksanakan perintah Allah itu.

Jadi, Ramadhan yang bakal menjelma ini, mari sama-sama kita jadikan ia sebagai satu platform untuk kita menghapuskan pandangan skeptik sebegitu yang sering menjangkiti jiwa-jiwa mereka yang kurang cenderung terhadap Islam. Sebagai pelajar, tingkatkan prestasi dan pencapaian kita sepanjang bulan Ramadhan, kurangkan alasan-alasan yang didasarkan kepada 'puasa', penat bertarawih, dan lain-lain yang seumpama dengannya. Tingkatkan amalan ibadah khusus seperti solat sunat, tadarrus serta tadabbur al-Quran, sedekah, qiamullail, di samping tidak mengabaikan ibadah umum yang menjadi rutin harian seperti belajar, bekerja, dan sebagainya yang tidak bercanggah dengan syara'.  
 
LATIHAN UNTUK SURVIVE DALAM BULAN-BULAN LAIN

Ibadah puasa yang dijalani sepanjang bulan Ramadhan, beserta larangan-larangan yang terdapat di dalamnya, bukan hanya terbatas pada bulan Ramadhan sahaja. Bahkan segala disiplin dan penghayatannya perlu diteruskan selepas keluar daripada bulan Ramadhan. Pengawalan nafsu, pengamalan ibadah, perlulah diamalkan secara konsisten tanpa mengira waktu dan ketika. 

Ramadhan merupakan medan untuk melatih diri, dan hasil latihan tersebut perlulah diterjemah ketika memasuki bulan-bulan yang lain, supaya keimanan dan ketenangan yang dirasai di dalam bulan Ramadhan tidak terhenti di situ sahaja. Bersyukurlah dengan nikmat Ramadhan, kerana dengannya kita bisa melatih diri untuk sentiasa menjadi hamba Allah yang muttaqeen...
    
                    والله أعلم                            
                                          
*كونوا ربّانيّين، ولا تكونوا رمضانيّن

1 comment: